Search This Blog

Monday, December 31, 2012

Selamat Tahun Baru Masehi 2013.

Bismillahhirrahmannirrahim

Assalammualaikum

Alhamdulillah Allah masih memberi kesempatan untuk menjenguk tahun 2013 Masehi.

Terlalu banyak kenangan yang tercipta pada tahun 2012. Ada yang memang dirancang dan ada kenangan yg tidak dlm perancangan. Namun apa pun yg di takdirkan menjadi satu pelajaran dan pengalaman yang sangat berguna untuk masa depan.

Harapan untuk menjadi tetamu Allah pada tahun lalu tetap kami panjatkan utk tahun ini. Rasanya tiada rezeki kami mungkin kerana belum cukup kuat taubat kami dan kami harus tingkatkan ibadat agar dapat menjadi tetamuNYA. Semuga tahun ini adalah rezeki kami utk menunaikan rukun Islam yg kelima. Mohon doa dari sesuapa yg sudi menjengah blog ini.

Banyak lagi nak flashback for year 2012 . Nantilah dlm posting yg akan datang. For now just want to wish everyone a good healthy wealthy spiritually, physically, emonationally new year. May every vision be fulfilled in this year.

Monday, December 17, 2012

Aku dan Cuti

Bismillahhirrahmannirahim

Assalammualaikum

Bulan doblas ni, ramai aja yang menghabiskan cuti tahunan. Ofis tiap hari ada aja yg tak bekerja. Best kan kalau ada cuti yang nak diclearkan. Aku...jangan haraplah nak clear kan cuti tahun lepas. 16 tahun bekerja di sini, tak pernah pun aku harus kena clear cuti tahun lepas. Kesian aku kat mereka mereka yang tak gunakan cuti tahunan pada tahun yg patut digunakan sampai nak kena clear cuti pada tahun kini kalau tak hendak diforfeit oleh company.

Ada lah juga 2 tiga orang kat sini yg cuti tahun ni belum terjejas pun sebab masih banyak cuti tahun lalu tak digunakan lagi. Tiap hari kerja...kerja..kerja. Kadang weekend pun sibuk nak datang kerja...tak ke kesian tu namanya. Macam takde life. Harap harap taklah sampai menghembuskan nafas terakhir kat ofis juga.

Tiap tahun aku diberi 21 hari cuti tahunan, 30 hari cuti sakit dan 60 hari cuti hospitalisation. Dengan tabiat aku yang suka makan angin, mana nak dapat ku bawa 21 hari cuti pada tahun berikut nya. Kalau dapat bring forward 7 hari ke tahun berikutnya pun dah kira alhamdulillah. Cuti untuk tahun ini tinggal lagi 8.5 hari setelah ditolak cuti minggu ini dan juga cuti 2 hari lepas raya cina tahun depan....fuuhh...kiasu betul lah, entah hidup ke tak nanti dah apply cuti tahun depan.

Apa apa pun aku suka bulan doblas ni, tak banyak orang kat ofis...nak bikin kerja pun senang.  Lagipun bulan doblas kan ada bonus. Bertambah lah suka aku kan...hahahha. (Macam dpt banyak aja bonus tu).

Alhamdulillah, harap cuti 8.5 hari tu tak terjejaslah menjelang akhir tahun ini. Kalau tak terjejas, campur cuti tahun depan, dah jadi 29.5 hari...yahoooo...so boleh lah plan cuti2 tahun depan. Cikgu cikgu nak gi holiday ngan kita tak, jom.

For now, looking forward to our  casual and makan makan trip to Mud Estuary.

Monday, December 10, 2012

Kelainan yg Serasi

Bismillahirrahmannirrahim

Assalammualaikum

Sekejap aja rasanya dah nak akhir tahun. Nov dan Dec tahun ini, tiap hujung minggu, sabtu dan ahad ada aja undangan perkhawinan. Tiap minggu menjamu beryani dan lauk pauk sampingan. Buffet lagi. Bertambahlah berat badan dibuatnya. Hahahha. Kena dietlah nampaknya tahun depan.

Kita hanya ada lebih kurang 20 hari lagi sebelum 2013 datang menjengok. Jadi apa personal achievement yang telah kita capai?.

Aku dah lama tak buat azam tahun baru setelah tamat zaman persekolahan. Aku sebenarnya lebih suka impromptu dlm buat banyak hal. Sangat berbeza sebenarnya antara aku dan Dear.

Dear adalah seorang yang amat dispilin pada jadual sesuatu perkara. Walhal aku adalah sebaliknya. Dear memerlukam anggaran waktu dalam menentukan banyak perkara. Contohnya, sekian time harus gosok baju dan sekian time harus bangun dan sebagainya.

Aku... Mana adanya nak ikut time dlm banyak hal.. Selalunya bila dah siap aku main redah aja.

Itu yang selalunya membangkitkan rasa tidak puashati pada Dear. Aku faham tapi tidak berusaha utk memperbaiki diri untk jadi apa yg Dear mahu.Hehehe

"Yang, you boleh tak jgn bikin jantung Ai putus" Dear dah beberapa kali bertanya. .
Namun me being me.. Buat tak tahu aja

"Kenapa pulak Yang nak bikin jantung dee putus? Kalau jantung Dee putus, Dee mati dan tinggalkan Yang sorang!"

"Takkan lah jantung Dee boleh putus just because Yang kasi tahu benda last minute"

"Bukan macam tu, Ai lebih suka buat preparation. Yang semua nak last minute". Rungut Dear.

Bila umur dah meningkat dan hubungan terlalu lama, kita kadang take things for granted. Kita gagal memberi perhatian tentang perkara perkara kecil yang pasangan kita suka dan benci.

Aku sebenarnya tak suka tertakluk pada waktu. Tapi itu bukan bermakna aku tak disiplin. Hidup ku ini entah sampai beberapa minit, jam, hari, bulan dan juga tahun, tak dapat aku menduga. Jadi after hampir setengah abad diberi peluang utk hidup, aku hanya mahu hidup ku tenang dan tak tertakluk pada hukum2 bagi kepentingan dunia saja.

So kesimpulannya aku tak suka hidup dengan terkonkong oleh waktu. I go with the flow.

Dan aku rasa kelainan aku dan dear itulah membuat kami blend into each other life. Alhamdulillah.

Sunday, December 2, 2012

Tiket Satu Jalan buat Ibu.

Bismillahhirrahmannirahim

Assalammualaikum

Apa khabar?. Semuga kita sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah SWT. Hari ni nak cerita sedih sikit sebab mengimbau kenangan 18 tahun yang lalu.

Tarikh ini, 18 tahun yang lalu sungguh adalah hari yang paling sedih bagi aku. Wanita yang amat aku cintai dan sayangi telah dibawa pergi dengan one way ticket (mudah2an kesyurga hendaknya) Walaupun beliau menghembuskan nafas terakhir pada 2 Dec tepat selepas azan Asar...namun tarikh terakhir beliau dibawa pergi adalah hari ini. Waktunya hari Jumaat selepas solat Jumaat disalah sebuah masjid dikawasan timur Singapura, jenazah beliau telah disolatkan oleh ramai jemaah yg baru saja selesai solat jumaat. Syukur kepada Allah Taala ramai yang sudi mengaminkan solat jenazah ibundaku tercinta.

Rasanya dunia aku kelam selepas pemergian mak. Aku sebagai anak yang bongsu agak merasa hilang tempat bergantung walau pada saat itu aku telah pun memiliki Dear. Namun mana kan sama rasa cinta itu.  Bila dikenangkan kembali, aku teringat yang aku tidaklah meraung raung menangis saat jenazah ibu dikafankan.  Malahan sewaktu ikut serta membantu memandikan jenazah ibu, tak sedikit pun airmataku mengalir. Kakak2 ku yg sama membantu menguruskan memandi dan mengafankan jenazah ibunda ada yang terisak isak, walaupun sudah diberikan penjelasan oleh tukang mandi mayat supaya redha dan tahan airmata jika hendak turut membantu.

Dari 8 adik beradik perempuan, entah macam mana, aku dipilih oleh tukang mandi mayat utk turut serta membersihkan ibundaku tercinta. Untung tiada yang membantah waktu itu. Alhamdulillah, aku terpilih untuk berbakti pada org yg dengan susah payah melahirkan aku walaupun hanya terhadap jasadnya saja.

Tiada yang dapat menukar ganti nikmatnya dapat berbakti untuk ibu buat kali terakhir.  Hidup rasa hambar bila mak dah takde.  Rutin aku seharian adalah call mak dari tempat kerja sebelum pulang untuk bertanya jika mak hendak aku belikan apa apa. Jadi aku rasa agak lost bila aku secara otomatik, talipon rumah sebelum pulang kerja. Pernah juga aku tersasul bertanyakan anak saudara yang angkat talipon untuk memanggilkan mak. Anak saudara ku yg saat itu berusia 6 tahun terus menangis.  Aku tersedar mendengar tangisannya dan turut mengalirkan airmata.  Tak kuat sebenarnya menghadapi dugaan Allah saat sesudah beberapa hari mak meninggalkan kami. Lama juga aku cuba mengelakkan diri masuk kekamar ibu. Tiap hari aku pulang lewat dengan membenamkan diri dengan kerja di pejabat.  Dear pun saat itu memang tak ku hiraukan dengan alasan banyak kerja. Hati kosong sekosongnya.

Kira kira lebih seminggu setelah pemergian ibu, aku ke hospital untuk menjelaskan pembayaran terakhir penginapan mak dhospital.  Sepanjang perjalanan dari mrt station ke hospital, aku menangis sendiri. Menangis mengenangkan yang kali ini aku ke hospital bukan untuk menjenguk mak. Sedih ku bercampur baur dengan nasib ku ketika itu.  Tak satupun dalam adik beradikku yg ingin menghulurkan bantuan untuk menjelaskan perbelanjaan hospital. Haru sangat waktu itu.  Sudahlah tiada yg offer untuk sama sama menjaga mak dirumah sakit. Cuma aku dan kakakku sorang aja yang dipertanggungjawabkan.

Waktu siang, mak ditemani anak nya yg no 3, kakak ku yg juga telah meninggalkan kami setelah 13 tahun mak pergi.  Tiap malam, aku pula yang ambil giliran menemani mak dihospital. Kakakku akan pulang utk berehat.  Namun, tiap pagi, kakak ku akan datang membawa sepersalinan baju baru untuk ku ke tempat kerja. Tiap malam juga selepas isyak, Dear akan dtg menjenguk mak dan aku dihospital bersama nescafe dan roti prata untuk aku menghalas perut dikedinginan malam. Dear akan membawa bajuku yg kotor untuk dicucinya. Sungguh tak terbalas budi baik Dear dengan pengorbanannya. Tiap Dear hendak pulang, mak selalu mencium dahinya dan meminta maaf dengan mengatakan sesalan tidak dapat membuat Dear sebagai menantu. Oh betapa aku masih ingat tatapan mak kewajahku tiap kali mengatakan begitu pada Dear. Sesuatu yang aku rasa kini adalah penerimaan mak secara tak langsung akan hubungan kami.

Kini mak semakin jauh dari dunia kami. Semuga mak tenang disana bersama bapak, kak Yah dan 2 lagi anak mak yang tak pernah aku temui dan kenal kerana mereka telah dulu meninggalkan mak dan men"chop"kan mak tempat diJannah. Insyallah.

Semuga Allah pertemukan kami sekeluarga diakhirat kelak dalam keimanan dan dapat sama sama memakan buah2, makanan2 dan air susu yg lazat tak terhingga hendaknya.

Alfateha buat mak.


Tuesday, November 13, 2012

Selamat tinggal 1433

Bismilllahhirrahmannirrahim

Assalammualaikum

Hari ini 30 Zulhijjah 1433. Hari terakhir dalam kelendar Islam.

Jika ada kesempatan dan tiada keuzuran, pergilah kemana mana rumah Allah untuk semarakkan tahun baru hijrah.

Jika tidak punya waktu untuk kesana jangan pula lupa untuk membaca doa akhir tahun selepas asar dan juga membaca doa awal tahun selepas maghrib.

Tahun ini saya sedih sbb tak dapat nak kerumah Allah sama sama semarakkan Maal Hijrah. Bukan rezeki.

Namun apabila muhasabh diri dan mengenangkan apa yg telah berlaku pada diri ini dan perhubungan antara kami masih dlm perlindungan Allah SWT, aku syukur sangat. Telah banyak Allah turunkan rezeki dan memberi nikmat yg tak terhingga. Tak kurang juga Allah berikan ujian demi ujian untuk aku dan Dear menjadi org yg lebih baik dimata Allah SWT. Alhamdulillah

Selamat tahun baru Hijrah 1434. Semuga segala dosa tahun lalu diampunkan Allah dan semuga tahun baru membawa lebih rahmat.keimanan juga mendapat taufiq dan hidayah dlm setiap langkah. Aamiin.

Tuesday, October 30, 2012

Dimakan kawan

Bismillahhirrahmannirrahim

Assalammualaikum

Alhamdulillah. Allah berikan rezeki tanpa diduga. Doaku dikabulkan. Sesungguhnya memang benar kata2 yg doa orang yang dianyai dimakbulkan.

Dua bulan yang lalu, penyewa telah keluar dari rumahku dengan meninggalkan rumah kotor dan rosak kan beberapa peralatan.

Walaupun Dear cukup geram, aku masih juga boleh bersabar. Namun kesabaran manusia ada hadnya. Aku akhirnya hilang kesabaran bila mengetahui yg sipenyewa yg merupakan bekas rakan sekolah membuat onar yg hanya boleh kesan melalui salah satu pancaindera.

Sungguh membuat aku amat geram. Ni sudah kes penganyaian. Niat ku untuk memulangkan sedikit wang daripada separuh deposit yang kutahan untuk bil air lampu dah pun kukuburkan. Kos memperbaiki yg kukeluarkan telah melebihi wang yg kutahan.

Aku sebenarnya ingin berbaik sangka mungkin temanku betul betul tak sempat mengemas walau dah ku beri tempoh dua bulan untuk mengosongkan rumah ku itu. Tapi dengan dia menaruk najis di dlm tong cistern flusher benar membuat aku kesal. Bukan itu saja, getah pengalas cistern tersebut pun dengan sengaja dikelar supaya bocor. Astaghfirullah. Dengkinya dia suami isteri hanya kerana aku enggan menerima tawarannya utk sambung sewa rumahku dengan harga $1.4k. Kadar sewa sebelum ini sebenarnya way below market yg setahun yg lalu telah pun berharga. $1.6K.

Dalam aku teranyia, aku bermohon pada Allah permudahkan aku untuk mengemas rumah dan mohon yg aku diberi penyewa islam yg lebih bail.

Alhamdulillah, syukur kehadrat illahi, penyewa baru adalah org muslimdan dan kadar bayaran sewa pun alhamdulillah.



Monday, October 22, 2012

Dua Puluh Tiga Tahun

Bismillahhirrahmannirrahim

Assalammualaikum

Alhamdulillah. Syukur kehadrat Illahi yang memberikan nyawa untuk kita bernafas.

Alhamduliilah, hari ini, dengan rahmatNya, 23 tahun kami telah hidup bersama. Menyulam cinta kasih dengan mengharungi banyak rintangan.

Duapuluh tiga tahun berkongsi pahit manis kehidupan. 23 tahun yang banyak mendewasakan kami. Rintangan demi rintangan dapat ditembusi dengan penuh kasih sayang. Walau kadang kaki tersandung, hati terluka meninggalkan kesan parut, alhamdulillah, jodoh kami masih lagi dipanjangkan Allah SWT.

23 tahun, suatu masa yang amat panjang. Banyak yg kami telan dan juga luahkan. Sikap toleransi dan menghormati antara satu sama lain dapat sedikit sebanyak mengekalkan hubungan kami hingga kini. Dan walaupun Dear tak pernah mahu mengaku yg Dear memerlukan aku dalam hidupnya secara terang terangan, namun aku tahu yg kami amat memerlukan antara satu sama lain.

Sesungguhnya aku bersyukur yang Allah mempertemukan aku dan membuatkan kami saling jatuh hati antara satu sama lain. Dan sesungguhnya aku bersyukur yang jodoh kami masih dlm perlindungan Allah SWT.

Walaupun niat dan impianku untuk menyambut anniversary tahun ini di tempat yang suci, aku yakin insyallah tahun hadapan adalah rezeki kami utk anniversary yg ke 24 insyallah.

So hari ini tiada any great celebation mcm last year. Tahun lalu kami sebenarnya celebrate anniversary cum house warming mahligai kami beberapa hari sebelum actual day. Cuma para undangan yg hadir cuma tahu ianya sebagai house warming. Hanya kami berdua dan sicelak aja yang tahu.

Tahun ini Allah menguji kami dihari anniversary kami. Kecik aja ujian yg Allah berikan sebenarnya. Namun rasanya tak tertanggung. Apapun Alhamdulillah aku yakin ujian ini adalah pencuci dosa dosa kecil kami. Semuga Allah mendengar permintaan kami dan terima penghijrahan kami dan tetap menyatukan dua hati kami hingga kehembusan nafas terakhir, insyallah.

Pada Dear, maaf tak dapat nak menunaikan permintaan Dear. Yang berharap sangat Dear redha. Semuga abadi cinta kita hingga keakhir hayat hanya kerana Allah Subhanallah Taala.

Ingat kay, saya amat mencintai awak dan saya harap awak pun jua.

Aamiin.

Saturday, October 20, 2012

Bukan Rezeki

Bismillahhirrahmannirrahim

Assalammualaikum

Sesungguhnya aku tak tahu perasaan sebenarnya yang aku rasakan. Jauh disudut hati memang aku sedih dan sangat sangat cuba memujuk diri. Ya kita manusia hanya mampu merancang dan Allah jua yang menentukan segalanya sejak belum kita lahir sekalipun. Semua telah tertulis di Lohmahfudz.

Sebagai hambaNYA, kita juga hanya mampu bersujud dan berdoa agar catatan kehidupan kita boleh diolah seperti yg kita inginkan. Namun tak semudah apa yg kita fikirkan.

Kita boleh aja tiap hari dengan gigih bangkit bangun sepertigamalam. Memohon Allah kabulkan permintaan kita. Cukupkah kita rasa semua itu? Hhhmmm. Bertahun kita lalai dengan suruhan NYA. Bertahun kita mengumpul dosa. Bertahun kita ambil masa untuk berubah walau kita sedar apa yg kita lakukan adalah khilaf, dosa dan dimurkai bukan hanya Sang Pencipta, tapi juga manusia biasa.

Akhirnya bagi aku dan Dear, akur ini semua adalah ketentuan dari Allah. Kami yakin Allah terima segala doa kami, ampunkan kekhilafan kami dan hanya DIA yg tahu apa yang terbaik untuk kami.

Mungkin persiapan kami sebenarnya tanpa kami sedar belum mencukupi. Bukan hanya persiapan ekonomi.. Banyak lagi persiapan yg harus kami sediakan seperti mendidik nafsu, menahan amarah dan menjaga setiap lintasan hati dan perkataan.

Apapun, aku memohon keredhaanMu. Aku memohon kau ikhlaskan aku dlm keredhaan menerima ketentuanMu. Aku yakin dan pasti, sesungguhnya ada hikmah disebalik semuanya ini dan pasti Ya Allah, telah kau siapkan yang terbaik untuk hambamu ini. Aamiin.

" Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami, oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir." (ayat 286, surah Albaqarah)

Tuesday, October 16, 2012

Suatu Penantian

Bismillahirrahmannirrahim

Assalammualaikum

Berapa lama harus ku nanti .....

Kebelakangan ini luahan hati dlm tiap sujud terakhir setiap solat adalah memohon pada Illahi agar diberi kan kami jawapan dari penantian kami.

Aku masih lagi mahu dan gigih menanti dengan penuh harap walaupun jawapan yang akan diberikan pada saat saat terakhir sekalipun.

"Dear, you rasa macammana, dapat tak kita" aku bertanya Dear beberapa hari yg lalu waktu baring2 nak tidor.

"Entahlah Yang, Dee rasa 50/50 lah" sambil Dear masih lagi matanya glue pada iphone main scramble. Itulah hobi Dear sebelum tidor semenjak dua menjak ni.

"Yang rasa dapat tak" berbalik Dear tanya kepada ku setelah beberapa minit aku mendiamkan diri.

"Insyallah dapat" dng penuh yakin aku menjawab sambil membalikkan badan mengarah kepada Dear disebelah.

"Kalau tak, how" Dear menenung pula wajahku tanpa mengerakkan badan hanya kepalanya saja kearahku.

"Dee suka tau negative, kita stay positif boleh tak" wajahku dah mula tegang menahan marah. Aku tak suka Dee berfikiran negative dan pessimif.

"Kalau tak de rezeki kita, Dee sukakan, bolehlah Dee rewang habis nanti" aku terus memusingkan badan dengan maksud mengakhiri perbualan kami.

Aku biarkan Dear dengan game nya. Aku tak mahu membicarakan soal penantian kami. Biarlah apapun keputusannya kelak.

Aku dah buat apa yg termampu, bersujud memohon permintaan kami diperkenankan.

Seandainya Ya Allah, kami bukan lah pilihanmu, kami redha dan yakin yang ada hikmah atas segala ketentuanmu. Dan kami amat yakin Ya Rabb, Engkau ada sesuatu yang lebih baik buat kami berdua.

Tenangkan hati kami, ikhlaskan perbuatan kami dan redhailah kami
Ya maha mendengar lagi maha penyayang.

Kami sahut lambaiamu Ya Allah, sampaikanlah hajat kami dan kasihanilah kami dlm penantian kami ini. Aamiin.

Monday, October 15, 2012

40 days

Bismillahhirrahmannirrahim

Assalammualaikum

Terasa sekejap aja masa berlalu. Hari ini genap 40 hari bapak meninggalkan kami. Maseh terasa kehilangan tiap hari bila aku pulang kerumah. Ya Allah kau kuatkan iman, hati dan perasaanku agar tak memendam rasa haru didlm hati. Alfateha buatmu bapak.

Wednesday, September 26, 2012

Nikmat

Bismillah hirrahmannirrahim

Assalammualaikum

"Maka nikmat Allah yang manakah yang kau dustakan"
(Surah al-Rahman, ayat 36)

Syukur kehadrat Illahi yg memberikan peluang untuk menikmati satu hari lagi kehidupan didunia untuk memperbaiki diri.

Dah banyak nikmat Allah yang aku dapat. Walaupun gaji aku tak seberapa, alhamdulillah Allah beri keberkahan rezeki dan kecukupan untuk hidup mewah bagi standard aku sendirilah. Tiap tahun aku dapat membawa Dear makan angin. Walau tak jauh beribu ribu batu atau punggung sebah duduk berjam jam untuk sampai kedestinasi, sekadar sejam feri ride pun aku masih dapat juga membawa Dear jln jln.

Allah sebenarnya sungguh sayang kepada aku. Walau tak diberinya aku seorang lelaki sebagai suami, Allah hadirkan Dear dalam hidupku sebagai teman mengisi kesunyian. Alhamdulillah.

"Maka nikmat Allah yg mana yg hendak kau dustakan"
(ayat 36, surah ar Rahman)

Dan kadang aku yg namanya manusia lupa untuk bersyukur. Astaghfirullah.

Membaca buku karangan Prof Kamil, berjaya membuatkan airmataku merembes rembes bercucuran. Juga terkadang membuatkan aku terisak menangis.

Baru beberapa bab yang aku baca aku telah dengan gigihnya mempromosikan buku ini pada Dear.

"Dear, Yang nak Dee baca buku ni, tapi Dee kena baca tanpa skip skip tau"

"Alah kan you tahu, Stail I kalau baca buku, anyway you tengah bacakan buku tu"

"Ya, I tengah baca, I give you in two days time, make sure you baca tanpa skip pages, i akan doakan you baca tanpa skip any page".

Ya Allah, semuga kau bukakan hati nurani Dear dan kau berikan kelembutan pada Dear semasa Dear membaca buku ini. Dan Ya Allah kau bukakan minda Dear seluas luasnya tanpa was was dlm pengajaran dari tulisan pengalaman Prof Kamil itu.

Aku mengharapkan kau perkenankan doaku ini Ya Allah. Aamiin.

Alhamdulillah, aku da habis baca dan malam ini akan ku galakkan Dear membaca buku ini.

Semuga Dear dapat merasakan nikmat yang aku rasakan dari pembacaan tersebut.

Semuga Allah memberkati Prof Kamil dengan kebaikan dan kewalafiatan dan kabulkan segala doa doanya.

Dan semuga aku juga dijadikan seorang hambumu yang sentiasa beryukur atas Nikmat yang selama ini kau berikan. Syukur Ya Allah. Alhamdulillah.

"Maka nikmat Allah yg mana yg hendak kau dustakan"
(ayat 36, surah ar Rahman)

Sunday, September 23, 2012

Rentetan Akhir seorang Bapa

Bismillahhirahmannirrahim

Assalammualaikum

Pemergian seorang yang ku panggil bapa sungguh meninggalkan kesan yang mendalam. Yelah walaupun bukan bapa kandungku dan juga bapa mertua yang halal, dia lah orang yang kupanggil bapa lebih lama dari bapa kandungku sendiri.

Allah mendatangkan dia dalam hidupku setelah bapak kandungku meninggalkan aku ketika aku baru berusia 5 tahun. Memang sesuatu yang kalau direnungkan kembali Allah pinjamkan kasih sayang seorang bapa padaku.

Kalau dibandingkan dengan Dear, bapa rasanya lebih mesra dengan aku. Aku boleh aja menyakat bapa walaupun pada pagi terakhir dia didunia yang fana ini.

Bapa dengan rasa sakit2 dibadan meminta aku mengangkatnya kekamar mandi untuk mandi dengan alasan dia takut jatuh. Bukan aku tak mahu angkat, bapa masih boleh berjalan. Lagipula mana boleh aku nak tengok2kan dia mandi, kami tiada hubungan mahram.

Masa aku mahu pergi kerja, aku memberitahu bapa. Mmg itu amalan ku tiap mahu pergi kerja dan bapa selalu pesan jalan baik2.

Tapi pagi itu 6 Sep 2012, bapa tidak mengucapkan kata kata itu. Malahan bapa bertanya siapa yg akan menjaga dia.

Memang hatiku walang. Namun apa dayaku lantas aku hanya menjawab supaya bapa tidak gusar, aku katakan yang Allah SWT dan malaikat ada menjaganya dan menyuruh dia terus berzikir "Laillahahilaallah" dan "Subhannallah".

Bapa rasanya sudah redha dan mengatakan yalah dia ikut ckp aku.

Aku menerima berita pemergian bapa selesai solat maghrib dirumahku sendiri. Abang Dear telah menalipon menyuruh kami balik segera. Bila ditanya dia mengatakan bapa da takde.

Aku menyuruh Dear solat maghrib dulu. Saat itu tiada perasaan sedih. Cuma ada perasaan yg kosong. Dan hatiku terlintas mengatakan yg Allah lah yg mengetahui segala kebaikan atas pemergian bapa... Bapa sering mengatakan dia tak nak susahkan anak2.

Bapa menghembuskan nafas terakhir pada petang Khamis. Abg Dear mengatakan yg bapa memberitahu yg bapa hendak tidor dan bapa berzikir dng lantang dari kamarnya. Jam berapa exactly bapak pergi meninggalkan kami untuk bersama penciptanya ALLAH SWT tiada siapa yg tahu. Itu mmg telah Allah janji kepada semua manusia tiada siapa yg tahu saat kematiannya. Alhamdulillah, pesanan ku menyuruh bapa berzikir dibuatnya juga.

Abang baru sedar yg bapa telah tiada saat mahu mengejutkannya sekitar waktu maghrib. Saat itu mmg badan bapa sudah dingin. Innalillahiwa innallahirajiun.

Alhamdulillah, bapa disolatkan ramai jemaah dimasjid yg berdekatan. Masih ramai jemaah yg baru selesai bersolat jumaat turut serta menjalankan fardu kifayah solat jenazah. Syukur pada illahi atas nikmatnya yg bapa terima saat2 jasad masih lagi didunia.

Bagi aku, sunyinya kamar bapa tiap pagi membuat jantung dan fikiranku berdebar2.

Takutkah Aku? Kenapa aku mesti takut? Satu hari aku pun akan pergi juga? Tapi kenapa hati tak tenang. Aku rasa sunyi saja. Itulah antara monolog aku. Tak dapat nak kuutarakan dan lafazkan pada Dear tentang gundah hatiku.

Hingga kini aku masih berasa demikian dan masih rasa takut untuk bangkit bertahajud.

Ya Allah, kau tenangkanlah hati ini dan kau redhakan dengan ikhlas suratanmu itu. Aku rindu utk bertahjud padamu. Berikan aku keberanian dan kekuatan untuk bangkit bersujud padamu. Perkenankanlah Aamiin.

Thursday, September 13, 2012

Perginya seorang Ayah

Assalammualaikum

Bismillahhirrahmannirrahim

Hari ini genap seminggu pemergian bapa kerahmatullah. Lepas maghrib nanti akan diadakan tahlil.

Bapak menghembuskan nafas terakhir dalam tidur. Sebelumnya abang Dear sudah diberitahu oleh bapak yg dia hendak tidur. Dan Arwah telah dengan gigihnya berzikir sebelum dia pergi. Bila menjelang maghrib, waktu sianak ingin mengejutkan bapak, bapak telah tiada.

Aku amat merasa kehilangan bapak. Walaupun bukan bapa kandung, namun dia adalah seseorang yang kupanggil bapak dalam hubungan terlarang ini.

Figur dan kasih sayang seorang ayah aku dapati pada lelaki yg menjadi bapak kandung Dear yg kalau hubungan ini halal dialah yg akan menjadi wali pada satu pernikahan. Dan terus menjadi bapa mertua untukku.

Namun, itu adalah satu perkara yang amat mustahil. Tapi syukur aku dipinjamkan figur seorang bapak yg dengan rela mengaku panggilan dirinya bapa kepadaku selama 23 tahun.

Mengenang kembali saat permulaan aku diterima keluarga Dear. Bila aku sering menginap dirumah Dear, bapak dan Mak "mertua" datang berjumpa ibuku meminta izin menjaga aku dan menganggap aku sebagai sebahgian dari keluarga mereka. Bapa berjanji dengan ibu yg dia akan jaga aku dengan sebaiknya dan berpesan agar ibu tak usah risau.

Alhamdulillah, saat itu ibu setuju saja dan jadinya demi cintaku pada Dear, aku makin sering melekat menginap dirumah mertua. Secara tak langsung, kedua belah pihak sudah pun bersetuju hubungan ikatan aku dan dear.

Bapa dan Dear sebenarnya kurang akrab. Bapa lebih mesra dengan aku. Aku boleh aja bergurau dan bersenda.. Dia x pernah marah.

Rasanya tak sanggup nak cerita lebih banyak kerana airmata terus mengalir mengenangkan semuanya.

Alfateha buatmu Bapak. Semuga engkau tenang disana. Kami akan ttp merinduimu.

Sunday, August 19, 2012

Hari Kemenangan

Assallammualaikum

Bismillahhirrahmannirrahim

Alhamdulillah, kita telah dengan jayanya menjalani ibadah puasa dibulan Ramadan, dan saat ini kita menyambut Hari Kemenangan Syawal 1433.

Ramadan yang baru berlalu telah memberikan kami banyak pengalaman yang baru. Juga pengalaman yang menginsafkan kami disatu Subuh selesai berjemaah di masjid faveret kami disini. Terimakasih Ya Allah membukakan mata dan hati kami. Terimakasih Ya Rabb, masih memberikan kami kesempatan untuk pulang kejalan dan fitrahmu.

Semuga Kau terima ibadah kami sepanjang bulan ramadan yg baru berlalu. Dan mempertemukan kami dengan ramadan tahun hadapan, insyallah.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Bathin ikhlas dari kami berdua.

P/s : beringat ingat beraya tu, jgn mkn tak henti2 takut nanti jantung kita yg berhenti. :)

Wednesday, August 15, 2012

Bila Raya Menjelang

Assalammualaikum

Bismillahhirrahmannirrahim

Terlalu cepat masa berlalu, tinggal 3 hari lagi untuk kita meraih nikmat ramadan. Ya Allah, kau berikan lah kami peluang untuk tetap dapat meraih fadhilat di hari hari terakhir ramadan ni.

Persiapan untuk raya bagi kami tahun ini sekadarnya saja. Kueh pun cuma beli 2 jenis, tart dan dahlia, tapi rezeki Allah. Da ada 8 jenis kuih yg kelak akan disediakan untuk sanak dan taulan yg berkunjung nanti.

Dah nak dekat2 raya ni, kita, aku in particular selalu teringat kat arwah mak dan arwah kakakku. Ketiadaan mereka lebih aku terasa daripada ketiadaan bapa yg pergi semasa aku berusia 6 tahun.

Yelah, kebanyakkan adik beradik lain telah pun berumahtangga bila aku menjelang dewasa. Jadi masa mak masih ada, aku lah yg gairah bersama mak dan arwah kakakku menyiapkan berbagai jenis kuih. Dulu2 jarang orang nak main tunjuk2 aja. Sikit sikit pun bikin 3 4 macam kuih. 3 4 macam tu pun bukan bikin cuma 1 adunan. Paling sikitpun 3 atau 4 adunan yg mak nak suruh bikin. Bukan apa, mak akan memberi kepada anak2 yg da berumahtangga sebalang sorang kuih. Untung kakak2 dan abang2ku. Yg penat aku, kadang tu aku bising gak kat mak, tapi mak selalu ckp takpe, diorangkan yg banyak dah bantu mak dan bayar duit sekolah kau. Kalau mak da kata begitu, aku selalu diam, sedih.

Bila mak da pergi meninggalkan kami pada tahun 1994, aku memang dah tak mood nak beraya. Kuih pun aku dah tak nak bikin dah. Arwah Kak Yah pun dah tak mood. Ada takde dia akan buat kuih kacang saja untuk seorang anak buah kami yg amat dia sayang.

Bila mak dah takde, raya amat berbeza. Aku tak lagi ambil cuti sebelum dan sesudah raya. Rumah aku akan kemas seminggu sebelum
Raya. Persiapan semuanya earlier aku dah buat untuk mengelakkan terkenang saat saat manis waktu mak ada.

Syawal yg bakal menjelang pasti membuat aku pilu. Raya tahun 2007 seawal 7.30pagi aku telahpun sampai dirumah sakit untuk menemani kak Yah. Seharian aku disitu tanpa peduli untuk beraya bersama Dear. Lewat malam apabila Arwah Kak Yah da tido barulah aku pulang kerumah Dear. Nasib baik Dear tak merajuk dan amat memahami sekali. Berat hati untuk pulang meninggalkan arwah waktu tu. Aku seakan terasa masaku bersamanya tinggal sedikit waktu saja.

Memang benarnya rasa hatiku, Kak Yah pergi meninggalkan kami pada 12 Syawal untuk bersama mak dan bapak.

Kesimpulannya, aku makin tak berghairah untuk menyambut raya tiap tahun setelah pemergian Arwah Kak Yah.

Aku amat cemburu pada teman teman yg masih mempunyai parents time2 raya begini. Dan aku juga amat marah bila mereka2 ini walaupun punya masa dan wangringgit tapi tak ambil peduli untuk menjenguk orangtua mereka.
Mungkin mereka rasa yg masih ada banyak masa nak bertemu dengan parents mereka. Hhhmmm... Semuga mereka yg berfikiran begini tidak menyesal kelak.

Aku berharap bagi mereka yang dah lama tak pulang menjengah orangtua dek ikutkan rasa ati dan sibuk melayan partner, pulanglah.. Aku pasti tak ada orangtua yang tak terima anaknya kembali kepangkuan keluarga tercinta.

Nak raya ni Aku terasa sangat rindu kat Mak, aku rindu kat Arwah Kak Yah dan aku rindu Arwah Mak Wok (ibunda Dear yg menjadi tempat aku bermanja setelah pemergian mak).

Alfateha untuk mereka.

Monday, August 13, 2012

Mengejar Lailatulqadar

Assalammualaikum

Bismillahirrahmannirrahim

Ramadan hampir berlalu pergi. Tinggal sebelah tangan saja dah boleh membilang sisa nya.

10 Malam malam terakhir ramadan tahun ini amat mencengkam naluri. Ramai yang mengambil peluang berebut rebut mencari keredhaan Allah SWT dan ada juga yang masih leka berebut rebut ke bazaar bazaar membeli kuih dan kelengkapan untuk berlebaran.

Alhamdulillah, syukur kehadratmu Ya Rabb, Ramadan 1433 membawa banyak pengalaman baru dlm hubungan ini. Buat pertama kalinya Dear sudi untuk turut serta berbuka, berqiamullai, bersahur dan subuh berjemaah. Syukur sangat sangat padamu Ya Allah kerana membukakan hati Dear dan juga membangkitkan Dear dari mimpi yg indah.

Ya Allah, sungguh terlalu banyak dosa dosa kami kepadamu Ya Rabb. Dosa yang kami sedar namun apa daya kami amat lemah untuk melawan gejolak nafsu.

Ya Allah, sedih dan takut mengenang setiap dosa yg kami lakukan. Takut sebenarnya yang lebih membelenggu perasaan dan fikiran. Sedih memikirkan betapa teruk pun kami, KAU masih memberi kami kesempatan untuk sedar dan bertaubat. Syukur Ya Allah.

Ya Allah, dlm sujud aku berdoa agar kau ampunkan kami. Dlm sujud memohon kau tetapkan penghijrahan kami dan dlm sujud aku berharap kau abadikan cinta kami hanya kerana mu.

"Yang, you rasa dapat ke kita Lailatulqadar"
"Wallahuallam, Yang tak tahu Dee, itu urusan Allah... Yang penting kita usaha, kalau Allah terima taubat kita dan sampaikan hajat kita, Yang rasa bersyukur sangat". Jawabku sambil memandang wajah Dear yg baring disebelah.

"Mudah mudahan semua doa2 kita terkabul hendaknya. ameen,

"Dahlah tido ah kejap, Yang nak kena bangun early nak masak, Dee bolehlah tido sampai pkl 2ptg. Good nite .. Eh good morning." aku pun tarik selimut n zzzz

Semuga kita masih diberikan kesempatan untuk menyempurnakan ibadah puasa dan juga mengejar Lailatulqadar, insyallah.

Wednesday, August 1, 2012

Mengimbau kenangan Ramadan

Assalammualaikum

Bismillahhirrahmannirrahim

Bulan puasa begini, sering kali kita akan terkenangkan orang orang yg dekat dihati namun memang tak lagi dapat kita bertemu kerana mereka sudah pulang kerahmatullah.

Bulan puasa sering kali membangkitkan kenangan silam tentang penghayatan ramadan kita dlm
zaman kekanak, remaja dan seterusnya berumahtangga.

Tiap tahun, tanpa aku sedar aku akan selalu bercerita pada Dear tentang zaman kanak2ku dibulan ramadan. Macammana ketika itu, aku dan rakan2 sekampung akan main sembunyi sembunyi bila org orang dewasa sibuk mengerjakan solat terawih dan bertadarus.

Aku juga bercerita pada Dear, bulan puasa adalah bulan aku buat duit. Bukan buat duit dengan berniaga dibazaar ramadan. Manalah ada bazaar bazaar zaman dulu kala. Tapi aku tetap dapat buat duit.

Aku selalu diberi tugas oleh abg iparku yg memasak bubur lambuk disurau sebelah rumah. Surau yang bapa jaga dan mengajar budak budak kampung solat dan mengaji. Surau yang bapa bina diatas tanah mak. I missed both of my parents too much. Lagi lagi dlm bulan ramadan ini.

So apa tugas aku?. Hehehe. Aku jadi budak deliver bubur lambuk kerumah orang kaya dikampungku. Ada dua rumah yang dianggap kaya kerana rumah mereka terbuat dari batu sedangkan rumah2 yg lain dibuat dari kayu. Tiap hari aku dpt sekitar 50-80 sen. Waktu zaman kanak2 dulu dpt jumlah begitu dah kira besar. Purata jumlah tu sebulan dapatlah dikira jadi 20$. Macam2 dapat beli dengan duit sebanyak itu dahulu. Namun aku selalu serahkan duit tu pada mak. Apalah yg aku nak beli dengan duit sebanyak itu. Paling pun aku cuma beli gula gula kelapa dikedai mamak di simpang jalan.

Dua hari yang lalu, selesai terawih, aku ulangi cerita tersebut pada Dear waktu kami baring baring atas katil

"Yang stop stop dulu, ni kali yang keberapa tak tahu dah, citer pose kat kampung yg you da ceritakan pada Dee"... Sambil tangan Dear menutup mulut aku.

"Hahaha" sambil aku menarik tangannya dari mulutku, aku terus bertanya
"Yeke? Tak perasan pulak, sorilah but i guessed tu kenangan yang sangat berkesan dalam hidup zaman kanak2 Yang pada bulan puasa" hahahhaha.. Masih tersisa tawaku

"Sori I didnt mean to stop you nak bernostalgia, but dah kerap you cerita.. Rumah Kak Oyah cik burn dan Rumah cikgu bedah kan yg selalu kasi you duit masa you hantar bubur tu." tanya Dear

Hahahha... Ketawa aku mendengarnya. Dear masih ingat rupanya.

"Ok ok sori... So Dee nak Yang citer pasal apa" memang aku dan dear suka berbual bual sebelum kami tidor kalau ada kesempatan.

"Boleh tak kita cerita pasal Ramadan pertama kita bersama" terkedu aku mendengar permintaan Dear.

Lama aku berjeda.

"Yang kenapa diam ni? You tak suka eh nak ingat semua tentang kenangan kita bersama... Sorrilah then, tak yah kita story story abt kenangan." lembut suara Dear.

"Entahlah Dee, Yang bukan tak suka nak mengimbau kenangan kita, tapi rasanya terlalu banyak kesilapan yang kita buat, terlalu leka dengan nafsu yang memburu, takut pula bila nak mengenang dosa dosa masa lalu. Mengingat nikmat yang Allah berikan, rasanya tiap kali Yang bersujud, rasa diri amat hina dimata Allah." balasku

Dear diam seketika. Aku juga turut diam. Akhirnya Dear bersuara untuk kami sama sama hentikan perbualan dan mulai membaca doa doa yang kami amalkan sebelum tidor sambil jari jarinya mengelus elus keningku hingga akhirnya aku tertidur.

Sunday, July 29, 2012

Menanti sebuah kepastian

Assalammualaikum

Bismillahhirrahmannirrahim

Sedar tak sedar, diam tak diam, kita telah pun memasuki 10 hari Ramadan. Cepat sungguh masa berlalu. Sebentar lagi nuzul Alquran pula menjengok.

Rencana untuk berterawih di masjid menjadi hanya satu rencana saja. Namun alhamdulillah, setakat ini belum pun aku termiss melakukannya dirumah. Sebaik baiknya wanita bersolat terawih dirumah saja, itu yang seorang abang ku komen bila aku bercerita hendak kemasjid yg luar kawasan perumahan kami. Baiklah, aku akur dengan kata katamu wahai abangku. Maka kami hanya lakukan terawih hanya dirumah saja sejauh ini.

Dear semalam bersuara suruh ambil cuti lepas national day. Boleh sama sama kemas rumah..Hhhmm. Bila aku check cuti tahun ini, aduhmak cuma tinggal 18.5 hari saja. Cukup ke nanti, dlm hati tertanya tanya pulak.

Bulan ramadan kali ini mmg betul betul menguji kami dengan sebuah penantian. Penantian yang sangat sangat kami harapkan memberikan suatu keputusan yang positif. Tak putus2 berdoa memohon agar diperkenankan permintaan kami.

Semuga penantian kami akan terjawab dengan keputusan yang positif minggu ini, insyallah, ameen.

Selamat berpuasa semuanya dan selamat merebut pahala sebanyak banyaknya dalam bulan yg mulia dan penuh berakah ini.

Saturday, July 21, 2012

Salam Ramadan 1433

Assalammualaikum

Bismillahhirahmannirahim

Alhamdullilah. Kita masih diberi kesempatan untuk bertemu dengan bulan Ramadan. Hari ini hari pertama kita memasuki bulan yang mana pintu pintu syurga dan keampunan dibuka dengan seluas luasnya. Bulan ini kita tak boleh menyalahkan syaitan dalam perkara perkara mungkar yang kita lakukan. Yang hanya boleh kita salah kan adalah diri kita yang tak dapat menundukkan hawa nafsu kita.

Alhamdullilah, cuaca pagi ini amat enak untuk kita mulakan puasa kita. Redup dan sejuk. Mudah mudahan kita diberi nikmat seperti ini sepanjang bulan ramadan. Berapa ramai yang puasa disiang hari tapi menjadi hamba nafsu pada malam hari. Makan tak ingat dunia dan akhirnya terbongkang didepan tv selepas berbuka. Mudah mudahan kita dijauhkan dari menjadi seperti ini pada ramadan 1433 ini. Marilah sama sama kita pertingkatkan amalan dibulan yang penuh berkah.

Peribadi bagi aku, bulan ini adalah bulan yang amat aku suka. Semasa kami didalam dunia lama kami, aku akan khususkan bulan ini hanya untuk beribadah. Persiapan untuk syawal, aku akan pastikan telah dilakukan sebelum menjelangnya bulan ini. Dan memandangkan aku bukan lah a 'nite' person, aku akan lebih melakukan segala mala ibadah didlm waktu sepertiga malam. 

Rutin bagi diri aku dan dia amatlah berbeza pada bulan ini.  Aku diizinkan pulang sejam lebih awal dari biasa ditempat kerja. Tapi tidak pula bagi dia. Alhamdulillah, senang lah aku menjalankan tugas menyiapkan juadah berbuka puasa seadanya. Tahun ini kami telah membuat keputusan untuk tidak berbuka di mana mana hotel baik disini atau diseberang tambak. Wang yang sering diperuntukan untuk berbuka ala buffet pun tak kami budget kan tahun ini.

Focus kami tahun ini adalah untuk tidak meninggalkan terawih tanpa alasan yang wajib. Juga untuk tidak membazir dalam hal menyediakan juadah berbuka puasa. Cukuplah kurma, bubur masjid, sekeping dua kuih muih dan sedikit main dish. Mudahan mudahan niat ni tercapai dan tak dileraikan oleh hawa nafsu.

Selamat beramal dan rebut nikmat ramadan buat semua. Andai berkesempatan, akan saya cerita tentang penghijrahan kami dilain kesempatan.

Salam ramadan kareem.

Tuesday, July 17, 2012

Satu Penghijrahan

Assalammualaikum

Bismillahirrahmannirrahim.

Hidup ini satu perjalanan panjang yang tak siapa dapat menjangkakan kadar masa kehidupan itu sendiri. Dalam perjalanan hidup itu sendiri terlalu banyak penghijrahan yang kita lakukan. Antara sedar dan tidak, satu demi satu penghijrahan yang telah kita lakukan. Bukankah begitu?

Hari ini, menjelang beberapa hari lagi umat Islam menyambut bulan yang penuh berakah dan syaitan diikat dan dilarang menggoda manusia, aku putuskan untuk memulaikan blog perjalanan penghijrahan aku dan partner dari dunia kehidupan lesbianisma.
Semuga perjalanan penghijrahan ini dapat dilalui dengan hikmah dan insyallah dijaga hingga detik nafas terakhir kami.

Ya Allah, hanya padamu kami sujud dan hanya padamu kami meminta. Ampunilah dosa dosa kami dan terimalah taubat kami dan bimbinglah kami dalam perjalanan penghijrahan abadinya cinta kita hanya kerana mu. Ameen.